Aida Jebat takut penonton meluat??? apa hal pulak si cantik manis ni..hehehemmm

SEWAKTU melangkah dalam industri hiburan empat tahun lalu, Ayda Jebat tidak pernah menjangkakan yang dia mampu untuk meraih populariti dalam tempoh yang pantas.
Ini kerana gadis berusia 23 tahun ini mengakui pada peringkat awalnya dia sekadar mencuba nasib untuk menempatkan diri sebaris dengan pelakon sedia ada.

Image result for ayda jebat
Ibarat untung sabut timbul, untung batu tenggelam, Ayda nyata tidak menyangka namanya tiba-tiba menjadi sebutan pada tahun ketiga pembabitan dalam dunia lakonan.
Drama Rindu Awak 200% yang ditayangkan tahun lepas menjadi bukti kejayaan terawal pemilik nama sebenar Nur Suhada Jebat ini.
Lebih membanggakan Ayda apabila setiap produk membabitkan namanya di kaca televisyen pasti mencatatkan sambutan memberangsangkan.
“Boleh dikatakan tahun pertama saya dalam industri lakonan, saya mencari-cari haluan sebenar dalam kerjaya.
“Apa sahaja watak yang ada di depan mata saya terima. Saya juga menggunakan kesempatan itu untuk berlatih berlakon dengan baik.
“Sehinggalah satu hari saya menerima tawaran Rindu Awak 200%. Sebenarnya, sebelum bersetuju untuk menerajui watak itu, saya menghadapi konflik.
“Saya khuatir dengan lakonan saya. Takut tidak menjadi,” kata Ayda sambil mengakui keberuntungan nasib apabila drama berkenaan melonjakkan namanya dalam bidang seni.
Sebelum terbabit dengan dunia lakonan, Ayda pernah menyertai pertandingan Akademi Fantasia musim ke sembilan namun bakatnya ketika itu langsung tidak dipandang khalayak.
Kini selepas namanya mula meniti di bibir peminat, Ayda pula meluahkan kegusarannya andai audiens mulai bosan apabila terlalu kerap dihidangkan dengan watak yang hampir sama setiap masa.
Selain Rindu Awak 200%, nama Ayda juga menjadi sebutan apabila mempamerkan lakonan memikat hati dalam drama M.A.I.D dan terkini, Cinta Karan.
Justeru Ayda memberitahu, sudah bersedia untuk memikul watak lebih berat dan serius bagi mencorakkan lagi karektor lakonannya.
Menurut Ayda, dia enggan terikat dengan satu watak biarpun watak sedemikian mempopularkannya kerana percaya keadaan itu berpotensi untuk membuatkan graf pencapaian yang dipertahankan selama ini menurun.
“Rugilah kalau saya tidak segera bertindak mewarnakan watak dalam karier saya. Saya tidak boleh selama-lamanya membawa watak gadis remaja.
“Mungkin dua tiga kali bawa watak yang lebih kurang serupa dalam drama penonton boleh terima. Tapi macam mana keadaannya selepas itu? Takkan selama-lamanya berada di takuk yang sama?
“Justeru saya perlu menerokai watak lain seiring dengan perkembangan kerjaya saya.
“Paling menakutkan kalau perkara itu menjadikan penonton meluat,” katanya yang mengakui penonton hari ini semakin bijak menilai kemampuan pelakon.
Ketika ini, Ayda sedang menjayakan drama Sesal Separuh Nyawa di bawah produksi Cube Film Sdn. Bhd. yang dimiliki penerbit Michael Ang.
Bakal ‘terbang’ ke Amsterdam selama 10 hari untuk menjayakan drama berkenaan, Ayda berkata, drama itu bakal mengukur kemampuan dirinya sebagai pelakon yang mampu bermain perasaan dalaman.
Drama tersebut memberikan peluang kepada Ayda untuk menjayakan watak serius apabila perlu mendalami jiwa seorang wanita yang berdepan dengan konflik apabila terpaksa menyimpan perasaan terhadap seorang lelaki walaupun dia sudah bersuami.
Selain itu, Ayda juga teruja untuk menanti respons penonton apabila telefilem berjudul Nawaitu Cinta, arahan Osman Ali bakal ditayangkan tidak lama lagi.
Melakonkan watak seorang gadis yang terpaksa menyembunyikan agama Islam yang baru dianuti, Ayda juga mencabar dirinya untuk menjiwai watak Orang Asli daripada suku Semelai.
“Saya memberikan sepenuh jiwa untuk menjayakan watak dalam Nawaitu Cinta yang menjalani penggambaran di kawasan pedalaman sekitar Pahang dan Perak.
“Demi telefilem itu, saya buat kajian tentang budaya dan bahasa Orang Asli suku Semelai. Malah saya minta kepada Osman Ali untuk mengulang semula rakaman babak tertentu kerana mahu berikan yang terbaik.
“Lagipun rugi kalau saya sia-siakan peluang apabila dapat bekerjasama dengan pengarah seperti Osman Ali,” katanya.
Ayda juga bakal terlibat dengan watak serius dalam drama bersiri Menongkah Kasih yang akan menjalani penggambaran Oktober nanti.
Populariti
MENEMPA populariti yang bukan sedikit, menariknya dalam tempoh kurang setahun Ayda juga sudah menggondol enam anugerah popular sepanjang tahun lepas.
Antaranya Artis Baru MeleTOP, Anugerah Top Top MeleTOP (Wanita) pada Anugerah MeleTOP selain Artis Baru Wanita Popular bagi Anugerah Bintang Popular.
Terhutang budi kepada kelab peminat, AJ Screamer, Ayda bertuah kerana sokongan tidak berbelah bagi peminat buat dirinya.
Menurut Ayda, ada enam pasukan dalam AJ Screamer yang bertindak menguar-uarkan aktivitinya di laman sosial.
Tidak hairanlah jika setiap produk baharu daripada Ayda kerap mendapat perhatian masyarakat dengan pantas.
Buktinya, lagu dendangan Ayda berjudul Siapa Diriku semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat hari ini.
Siapa Diriku adalah runut bunyi drama M.A.I.D yang dirakamkan sekitar Mei lalu. Dalam tempoh dua bulan lagu berkenaan dilihat semakin mendapat tempat dan rasi di halwa telinga pendengar.
“Saya sangat bersyukur kerana setiap projek yang membabitkan saya dengan mudah mendapat tempat.
“Rahsianya adalah menjalin dan menjaga hubungan baik dengan orang sekeliling yang bekerjasama dengan saya.
“Momentum ini perlu dikekalkan sebab itu saya sentiasa menghargai sesiapa saja individu yang mempunyai kaitan dengan kerjaya saya,” katanya lagi.
Kritikan
MENGUBAH topik kepada kritikan yang biasanya dilalui setiap penggiat seni, kata Ayda, dia awal-awal lagi sudah bersedia untuk berdepan dengan situasi sebegitu.
Akur dengan fitrah manusia yang pasti ada perasaan kurang senang dengan kejayaan atau tindak tanduk segelintir artis popular namun Ayda enggan melayan perasaan negatif itu.
Sebaliknya menurut Ayda, seboleh-bolehnya dia mahu memberi aura yang positif kepada peminat industri seni dengan tidak terlibat kontroversi.
“Saya tahu kepentingan kontroversi itu untuk menaikkan nama seseorang artis. Tapi tidak selama-lamanya kita menggunakan kesempatan itu sepanjang pembabitan dalam industri.
“Cukup-cukuplah kontroversi membabitkan nama saya di awal pembabitan dan kemudiannya saya dikritik teruk sebelum ini.
“Sekarang ini adalah masa bekerja. Saya mahu buktikan yang kehadiran saya dalam bidang ini bukan main-main. Sebab itu saya menerima dengan hati terbuka setiap kritikan yang dilemparkan kepada saya,” ujarnya.
Sengaja mengusik tentang kedudukan Ayda sewaktu kehadiran ramai pelakon baharu, Ayda mengakui tidak tergugat dengan keadaan itu.
Malah kata Ayda, dia bersedia untuk bersaing secara sihat demi memastikan kelangsungan industri seni tanah air.
“Kalau nak bertahan, kena kuat. Tahan kena kritik dan fikiran kena terbuka. Perlu juga ada pasukan kerja yang bagus kalau mahu terus berada dalam industri.
“Percaturan ini perlu dilakukan sebaik-baiknya. Barulah boleh berjaya. Selebihnya, serah kepada Tuhan,” tutup bicaranya penuh optimis.
Share on Google Plus

About Unknown

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment