TERLALU banyak kenangan manis yang dilalui penyanyi Asmawi Ani atau Mawi sepanjang melalui zaman kanak-kanaknya di Felda Taib Andak, Kulai, Johor.
Ini terutama kenangan bersama-sama bapanya, arwah Ani Ahmad dan ibu, Ramlah Sarlan yang bertanggungjawab mendidik dan memberi penekanan kepada Mawi tentang asas didikan agama yang menjadi teras hidup seorang Muslim.
Seawal usia tujuh tahun, Mawi sudah ‘dipaksa’ mempelajari taranum, tajwid al-Quran dan berzanji yang diajar oleh arwah bapanya yang berkebolehan dalam bidang tersebut.
Hampir setiap hari juga, dia ‘memberontak’ kerana enggan menuruti perintah arwah bapanya itu kerana lebih senang bermain dengan rakan sebaya.
Bagaimanapun hati keras Mawi akhirnya cair apabila arwah bapa kerap memberi penjelasan kepadanya tentang manfaat menguasai bacaan al-Quran dengan baik selain tidak pernah gagal bergelar juara pada setiap pertandingan musabaqah yang disertai sejak berusia sembilan tahun.
“Arwah abah yang menyuntik keyakinan kepada saya untuk menyertai setiap kali mendapat tahu tentang penganjuran pertandingan musabaqah di sekitar Johor.
“Arwah abah sendiri yang bersusah payah mendaftarkan nama saya dan menunggu sehingga keputusan pertandingan itu diumumkan.
“Selalunya kami pulang dengan senyuman sebab saya tidak pernah gagal untuk bergelar juara.
"Keadaan yang sama berlarutan sehingga saya menyertai pertandingan di peringkat negeri yang dianjurkan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ).
"Saya diangkat sebagai juara pada pertandingan tersebut,” katanya mengimbas kenangan ketika berusia 16 tahun itu.
Bertitik-tolak dari situ, Mawi semakin bersemangat untuk mendalami selok-belok ilmu berkaitan Islam ketika zaman sekolahnya.
Malah Mawi juga lulus dalam peperiksaan Sijil Darjah Khas Agama Johor yang melayakkan dirinya untuk menjadi guru agama ketika berusia 17 tahun.
Darjah Khas Agama Johor adalah lanjutan program pembelajaran di Sekolah Agama Kerajaan Johor. Setiap pelajar perlu lulus peringat Sijil Darjah Enam Agama (SDEA) sebelum mengikuti pengajian tersebut.
Ujian hidup
TIDAK pernah menyangka rezekinya dalam bidang nyanyian terbentang luas, Mawi juga sentiasa mengingatkan diri bahawa setiap rezeki itu adalah ujian buatnya.
“Saya tidak menganggap populariti adalah satu keseronokan sebaliknya dugaan kepada saya untuk lebih mengenali diri.
“Seiring dengan populariti yang diraih itu juga, saya berdepan dengan pelbagai dugaan. Apa pun semua itu adalah pengalaman hidup yang tidak akan saya lupakan sampai bila-bila.
“Siapa sangka budak kampung seperti saya tiba-tiba dijulang kerana bakatnya. Syukurlah... Saya berjaya menempuh tempoh tersebut,” kata suami kepada Nora Asyikin Rahmat atau Ekin ini.
Bersama-sama Ekin yang dikahwini pada 21 Oktober 2008, pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata bernama Cahaya Malaika yang kini berusia tiga tahun.
Mengakui perkahwinannya itu mendapat liputan meluas di seluruh negara, Mawi berkata, itu juga adalah kemuncak kepada popularitinya.
Terkini, Mawi sedang sibuk mempromosikan single baharu berjudul Sahabat Dalam Tubuh nyanyian bersama-sama Daly Filsuf.
Tumpuan
Walaupun Mawi sibuk dengan aktiviti persekolahannya pada sebelah pagi di Sekolah Menengah Tunku Abdul Rahman Putra, Kulai namun fokus kepada pelajaran agama yang diikuti pada sebelah petang di Sekolah Agama Bandar Kulai tidak pernah terabai.
“Sekolah agama pada sebelah petang ini, kalau tak lulus tak boleh naik kelas berikutnya. Sebab nak lulus, saya sentiasa memberi tumpuan di bilik darjah.
“Saya memang belajar bersungguh-sungguh. Kalau ada mata pelajaran yang saya tak faham, saya tanyakan kepada arwah abah.
“Penjelasannya banyak memudahkan pemahaman saya. Sebab itu apabila saya lulus peperiksaan Darjah Khas Agama Johor ini, saya jadi guru agama.
“Kakak saya, Rashidah juga banyak memberi galakan kepada saya untuk bergelar guru agama memandangkan saya tidak bekerja selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada 1998,” katanya yang pernah menjadi guru agama selama dua tahun.
Rambut oh Rambut
BERSYUKUR kerana mempunyai arwah bapa yang memahami dirinya, kata Mawi, dia juga tidak akan melupakan kenangan dengan lelaki itu biarpun dia telah meninggalkannya kira-kira sembilan tahun lalu.
Arwah bapa Mawi meninggal dunia kerana serangan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) pada pertengahan 2006.
Mawi memberitahu, antara kenangan paling diingati dengan lelaki itu adalah membabitkan rambut ketika zaman kanak-kanaknya.
Berkongsi cerita, Mawi memberitahu, arwah bapa pernah melengah-lengahkan suruhan cikgu Tadika Kemas, Felda Taib Andak yang meminta dia memotong rambut ketika berusia tujuh tahun.
“Arwah bapa cuma pesan minta saya cakap dengan cikgu, ‘tunggu cukup bulan’. Tapi dari bulan ke bulan sampai ke hujung tahun, rambut saya tidak dipotong.
“Bagaimanapun ketika memasuki darjah satu di Sekolah Kebangsaan Sinar Bahagia, Kulai lain pula kisahnya.
“Kerana takut didenda dengan cikgu disiplin, saya paksa juga arwah abah bawa saya ke kedai gunting rambut.
“Jadi selamat tinggal rambut saya yang melepasi paras bahu itu,” katanya selesa dengan fesyen rambut flat top dan bros selepas itu.
Bagaimanapun imej berambut tersebut tidak lama. Sekali lagi Mawi menukar fesyen apabila membotakkan rambutnya selepas satu kejadian lucu ketika berusia 10 tahun.
Pada waktu itu, kakaknya, Rashidah yang sedang memotong rambutnya telah tersalah mencukur rambut di bahagian atas telinga menyebabkan Mawi tidak berpuas hati.
Akhirnya dia mencukur terus rambutnya sehingga botak licin.
“Sejak itu, kawan-kawan di kampung memanggil saya Botak. Apabila rambut baharu tumbuh, saya dapati rambut yang tumbuh sudah tidak lagi selembut rambut lama,” katanya lagi.
Mencari kerja
Sebelum diangkat juara pertandingan realiti Akademi Fantasia (AF) pada 2005, Mawi pernah bekerja sebagai kerani stor di sebuah pasar raya besar di Subang Jaya, Selangor.
Pada waktu itu, Mawi sengaja mengikut arwah kakak sulung, Asmah yang tinggal di Shah Alam, Selangor sebelum bertemu dengan seorang kenalan baharu yang mengajaknya bekerja di pasar raya tersebut.
Bagaimanapun Mawi hanya bekerja selama dua tahun sahaja sebelum mengambil keputusan pulang ke kampung halamannya.
Mawi kemudiannya bekerja di sebuah pasar raya di Tampoi selama setahun sebelum bekerja sebagai deejay di sebuah kafe di Kulai.
“Sebenarnya sewaktu saya bekerja di pasar raya itu, saya sudah menjadi deejay secara suka-suka. Tapi ada rakan yang minta saya buat kerja itu secara sepenuh masa.
“Jadi saya pun bekerja di kafe itu. Ketika bekerja di kafe tersebut, ada pula rakan meminta saya mencuba nasib untuk ujibakat AF bagi zon Selatan.
“Masa itu AF sedang hangat diperkatakan. Saya tak tahu menahu sebab di rumah saya tiada Astro.
“Cuma saya perasan yang ramai pelanggan tempat kerja saya itu kerap menyanyikan karaoke lagu-lagu dalam album Zahid berjudul Wo!!! itu,” katanya yang menyanyikan lagu Pantun Budi pada sesi uji bakat itu.
Malangnya Mawi tersingkir daripada konsert prelude namun diserap kembali pada akhir konsert minggu pertama berdasarkan pemilihan juri.
Menariknya, Mawi kemudiannya digelar Raja SMS (khidmat pesanan ringkas) kerana sering mendapat undian tertinggi pada program realiti yang diadakan secara undian SMS itu.
Antara anugerah lain yang pernah dimenanginya adalah Anugerah Bintang Paling Popular pada 2005 dan 2006 serta Penyanyi Paling Popular untuk Anugerah Era 2006.
Mawi juga pernah menerbitkan sembilan album termasuk album Best Of Mawi World, Mawi... Yang Tercinta, Doa, Berzanji & Qasidah Berlagu, Yang Tercinta, Satu Dalam Seribu dan The Best Of Mawi.
Selain dunia nyanyian, Mawi juga pernah membintangi filem Jin Notti dan Magika selain dua telefilem berjudul Siapa Dapat Lisa? dan Rock Sangkut.
0 comments:
Post a Comment